29/12/2009
Assalamualaikum.... Huhh, minggu ini merupakan minggu pertama saya menyertai kelas pengurusan emosi dan saya merasakan sepanjang 3 jam perkuliahan yang telah saya sertai, pengalamannya amatlah berharga dan menyeronokkan. Ini kerana saya mempelajari pelbagai benda baru mengenai emosi seperti bagaimana emosi dilahirkan, cara mengawal emosi dan juga hubungkait antara emosi dan motivasi. Selama lebih 19 tahun saya hidup, saya sering diejek atau ditegur oleh rakan-rakan tentang kelemahan saya untuk melahirkan emosi yang bertepatan atau bersesuaian dengan situasi atau keadaan. Ini kerana saya sering tersenyum atau ketawa tidak kira dalam situasi gembira, sedih mahupun marah.
Saya seorang yang sukar untuk bergaul mesra dengan orang yang baru sahaja saya kenali. Ketika pertama kali saya menghadiri kuliah tidak kira bagi apa matapelajaran sekalipun, saya kebiasaannya akan duduk bersendirian jauh dari rakan-rakan lain walaupun terdapat kawan-kawan yang saya kenali dalam dewan kuliah tersebut. Saya merasakan seolah-olah seperti saya akan mengganggu mereka sekiranya saya tiba-tiba sahaja membuat keputusan untuk duduk bersama mereka tanpa dijemput. Dalam situasi sebegini, saya berasa takut dan rendah diri kerana saya memikirkan yang mereka mungkin lebih selesa bersama-sama dengan rakan yang mereka rapat sahaja sehingga membuatkan saya berasa seperti seorang penyibuk. Dari komponen fisiologi, kaki saya berasa lemah dan saya berasa kurang keyakinan di mana akhirnya tingkahlaku yang saya tunjukkan adalah saya akan berjalan ke tempat duduk yang jauh dari orang lain dan duduk di situ berseorangan.
Namun begitu, pada hari kedua perkuliahan keadaan menjadi sedikit berbeza daripada hari sebelumnya. Walaupun pada pagi itu saya berasa mengantuk dan malas untuk menghadiri kuliah sehinggakan saya telah tersalah masuk dewan perkuliahan, saya tetap mendorong diri saya untuk menghadiri kuliah kerana ditetapkan bahawa hari ini akan diadakan kuiz. Situasi ini bertepatan dengan apa yang telah diajarkan pada kuliah sebelumnya di mana emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Motif saya adalah untuk menjawab kuiz tersebut sebaik mungkin kerana ianya mempengaruhi peratusan markah. Oleh kerana motif saya ini saya menjadi bersemangat untuk menghadiri kuliah yang bermula pada jam 8 pagi. Oleh kerana perasaan saya membara dan bersemangat ini, saya terdorong untuk bangun awal pagi dan bersiap untuk menghadiri kuliah.
Walaupun pada hari ini tidak diadakan kuiz kerana soalannya tidak berjaya dijumpai, saya berasa seronok sekali pada kuliah hari ini. Pelbagai emosi dan pengalaman dikongsikan bersama oleh rakan-rakan. Pada awalnya seperti biasa saya duduk bersendirian di dalam dewan kuliah tersebut tetapi di atas arahan pensyarah yang mengajar, saya terpaksa bergerak mencari rakan yang sudi untuk menerima saya sebagai rakan perbincangan untuk membincangkan soalan-soalan yang telah diberikan. Pada awalnya saya berasa gementar dan takut kerana saya lihat rakan yang saya kenali masing-masing sudah mempunyai rakan untuk berbincang. Saya tidak mengenali sesiapa lagi dalam kursus ini yang boleh saya berkongsi pengalaman secara selesa dan terbuka. Tangan saya mulai menggigil tetapi saya tetap memberanikan diri mendekati rakan yang duduk tidak jauh dari saya. Walaupun beliau sudah mempunyai teman tetapi mereka tetap menerima saya untuk menyertai mereka. Sikap terbuka mereka membuatkan mudah bagi saya untuk turut sama berkongsi cerita tentang pengalaman lampau. Perbincangan antara kami bertiga sememangnya menyeronokkan.
Apabila melihat rakan-rakan saya bentang di hadapan, saya sememangnya diisi oleh perasaan gembira dan bangga kerana kesemua pembentang pada hari ini semuanya merupakan kenalan saya baik dari sama program kursus mahupun sama kolej. Terdapat juga sedikit perasaan cemburu kerana mereka semua begitu berani untuk ke hadapan dan berkongsi pengalaman dan hasil perbincangan mereka. Manakala, saya sering berfikir dua tiga kali sama ada ingin ke hadapan atau tidak kerana perasaan malu, segan, takut dan gementar yang teramat sangat.
Akhir sekali, saya hanya melihat dan mendengar sahaja tetapi tidak bertindak untuk melawan perasaan takut itu. Kelemahan saya yang terbesar adalah takut untuk berucap di hadapan orang ramai dan ini merupakan suatu kelemahan diri yang perlu saya pelajari untuk mengatasinya. Mudah-mudahan, disepanjang kursus ini saya akan menjadi lebih bijak dalam mengawal emosi dan pelajari cara sebenar untuk mengekspresikan emosi saya setara dengan perasaan hati saya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment